PBT

Taman Madani pertama di Kepong lengkapi gelanggang bola pikel

24 Jul 2025, 1:43 AM
Taman Madani pertama di Kepong lengkapi gelanggang bola pikel

Oleh Teoh Yee Shen

PETALING JAYA, 24 JULAI: Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan dana RM500,000 bagi menaik taraf padang di Taman Indah Perdana, Kepong, menjadi Taman Malaysia Madani, sekali gus menyediakan kemudahan rekreasi lebih lengkap kepada penduduk sekitar.

Ahli Majlis Zon 12 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata projek naik taraf yang bermula 23 Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada September merupakan Taman Madani pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan.

Menurut U Chin Ong, taman itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk gazebo, laluan pejalan kaki sepanjang 700 meter, dua gelanggang bola pikel, peralatan senaman luar dan lampu jalan berkuasa solar.

“Padang ini berkeluasan kira-kira 2.5 ekar dan sebelum ini telahpun mempunyai beberapa kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak selain gelanggang bola keranjang dan badminton.

"Namun, disebabkan kekurangan ruang parkir di kawasan perumahan berdekatan, ada penduduk menjadikan padang ini sebagai tempat letak kenderaan sementara, sekali gus menjejaskan fungsi asalnya sebagai kawasan riadah.

“Setelah mempertimbangkan keperluan komuniti, MPS telah memohon peruntukan daripada KPKT dan berjaya mendapatkan RM500,000 untuk menaik taraf padang ini sebagai Taman Malaysia Madani,” katanya.

Tambah Chin Ong, meskipun kawasan perumahan Taman Indah Perdana hanya mempunyai sekitar 200 rumah dan tidak begitu padat, namun taman itu dijangka turut memberi manfaat kepada seluruh warga Kepong.

“Dengan peningkatan jumlah warga emas di kawasan ini, keperluan terhadap taman rekreasi yang mesra warga emas semakin mendesak.

"Justeru, MPS komited untuk menaik taraf kemudahan rekreasi sedia ada demi menyediakan ruang awam yang selesa untuk semua peringkat umur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penduduk agar menghargai kemudahan awam yang disediakan dan tidak melakukan vandalisme.

“Saya berharap selepas taman ini siap kelak, penduduk dapat menjaga dan memanfaatkan kemudahan ini sebaiknya,” ujar beliau.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619