AGENDA

Kanak-kanak maut digigit anjing liar

23 Jul 2025, 10:41 AM
Kanak-kanak maut digigit anjing liar

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan maut dipercayai akibat digigit anjing dalam kejadian di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.40 pagi, daripada seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh.

“Kanak-kanak itu dibawa ke zon kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tidak memberikan tindak balas. Mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.14 pagi.

“Pemeriksaan awal mendapati kesan calar dan luka pada bahagian kepala serta badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata mangsa dibawa ke hospital oleh ibu bapanya iaitu pasangan Orang Asli berusia 31 dan 29 tahun dari Kampung Orang Asli Jalan Hospital.

“Pasangan itu baru pulang dari tempat kerja kira-kira 8.15 pagi dan mendapati pintu rumah terbuka. Mereka kemudian menemukan anak mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 20 meter dari rumah, dengan beberapa ekor anjing berada berhampiran mayat,” katanya.

Difahamkan, mangsa berada di bawah jagaan pakciknya ketika kejadian dan dipercayai tidur di ruang tamu sebelum disedari hilang.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619