SHAH ALAM, 19 JULAI: Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang menggali karya kitab tradisi sejak dua tahun lalu menjadi platform pengembangan ilmu pengetahuan terutama di rumah ibadah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini juga menjadi sumber dan pusat keutamaan ilmu sekali gus menaikkan lagi syiar Islam.
“Sebagaimana ucapan saya pada FTIS 2023 bahawa menjadi impian dan cita-cita untuk jadikan rumah Allah SWT, masjid sebagai pusat kehidupan masyarakat kembangkan ilmu dan pengetahuan.
“(Masjid) Bukan hanya diisi dengan tanggungjawab tunaikan solat, solat Jumaat, sunat Aidilfitri, Aidiladha, berjemaah tetapi jadi sumber dan pusat keutamaan ilmu.
“Tahun pertama kita gali karya Turath Ihya Ulumuddin dan perkenalkan Imam al-Ghazali. Tahun lepas kupas naskhah Imam Nawawi. Kali ini sebahagian besar dari karya Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir Al-Jalalain gabungan Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaluddin as-Suyuti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan syarahan perdana bertajuk "Pedoman Mendidik Anak ke Arah Menghargai Warisan Keilmuan Islam" disampaikan pendakwah terkenal Indonesia Dr Adi Hidayat.
[caption id="attachment_711086" align="alignnone" width="893"] Kanak-kanak menyertai Syarahan Perdana “Pedoman Mendidik Anak ke Arah Menghargai Warisan Keilmuan Islam” sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 di Masjid Sultan Salahduddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Julai 2025 Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Amirudin menambah, usaha pentadbiran tidak terhenti selepas FTIS tamat sebaliknya diteruskan dengan agenda lain antaranya menterjemah kitab Ihya Ulumuddin dalam Bahasa Melayu.
Selain itu beliau berkata pengajian kitab berkenaan yang dikendalikan tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni akan dilanjutkan dengan penganjuran setiap bulan,
“Lepas ini kita akan turun ke daerah-daerah, ke kampung untuk melanjutkan Ihya Ulumuddin dan banyakkan pembacaan kitab Nawawi.
“FTIS ini jadi (platform) kita tarik penonton kerana pembangunan masyarakat harus dengan ilmu dan pengetahuan,” katanya.
[caption id="attachment_711078" align="alignnone" width="860"] Ribuan jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Sultan Salahduddin Abdul aziz Shah, Shah Alam bagi mendengar Syarahan Perdana “Pedoman Mendidik Anak ke Arah Menghargai Warisan Keilmuan Islam” sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 pada 18 Julai 2025 Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
FTIS 3.0 bermula sejak 12 Julai hingga Ahad ini menampilkan 18 tokoh agama dan ulama tersohor, yang akan menjalankan tiga sesi pengajian setiap hari bermula jam 9 pagi manakala sesi petang antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.
Festival itu turut dimeriahkan dengan pameran sekurang-kurangnya 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.
Selain Adi Hidayat, empat lagi tokoh ilmuwan Islam terkemuka iaitu Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari, Prof Dr Idris al-Kharshafi, Dr Mohammad Akram an-Nadwi dan Dr Majd Makki dijemput mengupas dua kitab tafsir agung karya Imam as-Suyuti.