AGENDA

Dera dan bunuh anak kekasih, pekerja kedai diseret ke mahkamah

18 Jul 2025, 9:12 AM
Dera dan bunuh anak kekasih, pekerja kedai diseret ke mahkamah

ALOR GAJAH, 18 JULAI: Seorang pekerja kedai menjual peralatan memancing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membunuh anak kandung kekasihnya yang berusia 19 bulan awal bulan ini.

Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, 20, mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teo Shu Yee, dan tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bayi perempuan berkenaan di tingkat tiga sebuah kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang, Alor Gajah, sekitar 9 malam pada 6 Julai lepas.

Jika disabit kesalahan, Muhammad Isyraf boleh dihukum mati atau penjara tidak lebih 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh baharu bagi serahan laporan bedah siasat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Sept depan untuk sebutan semula dan tidak membenarkan ikat jamin.

Menurut laporan media pada 7 Julai, sepasang kekasih disyaki membunuh bayi yang merupakan anak kandung wanita berkenaan dengan mendera mangsa pada malam sebelumnya.

Hasil pemeriksaan doktor di Hospital Tampin mendapati kesan lebam pada perut dan belakang badan bayi berkenaan selain kecederaan di lubang dubur sebelum doktor membuat laporan polis sehingga kedua-dua suspek diberkas.

Semakan lanjut mendapati, suspek lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes judi.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619