Oleh Ahmad Nahar Sulaiman
PETALING JAYA, 18 JULAI: Pemberian bantuan katil hospital boleh laras memberi sinar kehidupan buat seorang penghidap kencing manis yang kini mengalami kesukaran bergerak.
Menurut Abdul Aziz Sanusi yang kini tidak lagi mampu bekerja, beliau bersyukur bantuan yang diberikan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara memudahkan urusan hariannya.
"Saya amat bersyukur kerana permohonan diterima dengan cepat dan bantuan yang diberikan sangat membantu dalam kehidupan seharian.
"Sebelum ini, saya juga menerima sumbangan kerusi roda daripada pihak yang sama selepas keluar hospital empat bulan lalu," katanya kepada Media Selangor.
Beliau yang menyara keluarga dengan hasil jualan nasi lemak masakan isteri, mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat Ng Sze Han yang disifatkan cakna nasib penduduk, khususnya golongan kurang bernasib baik.
Sze Han berkata bantuan disalurkan susulan permohonan isteri Abdul Aziz, Masliha Said, dan diluluskan segera memandangkan alatan berkenaan adalah keperluan mendesak.
Menurutnya, setiap permohonan yang layak akan diuruskan secepat mungkin tanpa mengira latar belakang, selaras dengan prinsip menyantuni rakyat.
Beliau menegaskan tetap berusaha meluangkan masa menyertai program Skuad Jelajah Kasih DUN Kinrara setiap hujung minggu bagi memastikan golongan memerlukan tidak terlepas daripada perhatian.
"Banyak permohonan diterima setiap bulan melibatkan keperluan asas, perubatan dan kebajikan," katanya ketika turun padang menyertai program berkenaan Sabtu lalu.