AGENDA

ECRL: Lencongan trafik sementara di Lebuhraya KL-Karak arah Kuantan

17 Jul 2025, 8:28 AM
ECRL: Lencongan trafik sementara di Lebuhraya KL-Karak arah Kuantan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Lencongan trafik sementara di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dari KM25.75 hingga KM26.4 arah Kuantan (Gombak ke Genting Sempah) telah diaktifkan baru-baru ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sazali Harun berkata pelaksanaan lencongan itu melibatkan pengalihan laluan sedia ada tiga lorong ke laluan sehala bersebelahan arah Kuala Lumpur, dengan jumlah kapasiti lorong yang sama dikekalkan bagi memastikan kelancaran trafik.

Beliau berkata LLM bersama Syarikat Konsesi AFA PRIME Berhad dan Malaysia Rail Link (MRL) telah menjalankan beberapa siri pemantauan sejak lencongan diaktifkan.

“Hasil pemantauan terkini pada 14 Julai 2025 mendapati aliran trafik di lokasi berkenaan adalah teratur, terkawal dan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau reka bentuk Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi pelaksanaan lencongan ini telah disemak dan disahkan oleh juruaudit keselamatan jalan menerusi Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) Tahap 4 Bahagian 1.

“RSA Tahap 4 Bahagian 2 pula dijadual dilaksanakan pada 30 Julai ini bagi menyemak pematuhan pelaksanaan serta mencadangkan penambahbaikan berdasarkan perkembangan pembinaan di tapak,” katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan papan tanda keselamatan di lokasi dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619