AGENDA

Treler alami masalah brek punca kemalangan lima kenderaan di Lebuhraya KL-Karak

23 Dis 2022, 2:28 PM
Treler alami masalah brek punca kemalangan lima kenderaan di Lebuhraya KL-Karak

KUANTAN, 23 DIS: Sebuah treler muatan besi yang mengalami masalah brek antara lima kenderaan terlibat dalam kemalangan di kilometer (KM) 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah timur hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata siasatan awal mendapati treler berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terlanggar sebuah lori membawa kontena di hadapannya sehingga terbabas ke kiri jalan dalam kejadian sekitar 12.45 tengah hari.

Beliau berkata rempuhan itu telah menyebabkan lori membawa kontena hilang kawalan dan menghimpit sebuah kereta Toyota Vios di bahagian kiri jalan manakala treler terbabit merempuh dua kenderaan lain masing-masing Honda Civic dan Naza Citra.

"Kemalangan itu turut menyebabkan muatan besi treler tersebut terjatuh dan bertaburan di jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemandu lori membawa kontena hanya cedera ringan di bahagian dahi manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zaiham berkata orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Lebuhraya Pantai Timur ketika dihubungi memaklumkan kemalangan itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas sepanjang 21.2 km dari KM 21.7 hingga lokasi kemalangan, namun trafik kini kembali lancar.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619