PBT

MPAJ keluar 83 kompaun premis cemari Sungai Kerayong

16 Jul 2025, 12:19 PM
MPAJ keluar 83 kompaun premis cemari Sungai Kerayong

SHAH ALAM, 16 JULAI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan 83 kompaun kepada pihak yang melepaskan sisa makanan dan bahan pencemaran di Sungai Kerayong, Ampang dari Januari hingga Jun lalu.

MPAJ memaklumkan pihaknya dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar memeriksa 517 restoran dan medan selera dalam tempoh sama.

“Semua 83 kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pelesenan Establisymen Makanan MPAJ 2007.

“Tindakan penguatkuasaan secara bersepadu akan dijalankan sekiranya terdapat ketidakpatuhan ke atas tahap kualiti air di dalam pelepasan efluen daripada mana-mana aktiviti di sekitar kawasan sungai,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu lagi, Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ sentiasa membuat pemantauan berkala di kawasan sungai yang berada di bawah kawasan pentadbirannya.

“Berdasarkan pemantauan, kebanyakan efluen yang dilepaskan adalah sisa makanan dan sampah restoran, medan selera dan rumah setinggan berhampiran kawasan sungai,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan bau busuk sehingga melekat pada baju di laluan pejalan kaki merentasi Sungai Kerayong ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Jaya.

Pencemaran bau daripada sungai itu dikatakan sudah lama berlarutan dan semakin parah dipercayai akibat longgokan sampah dan sisa buangan lain.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619