AMPANG JAYA, 24 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan dua kompaun terhadap premis makanan yang gagal mematuhi tahap kebersihan ditetapkan dalam pemeriksaan di Pandan Indah dan Taman Permata hari ini.
Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ bagi memastikan keselamatan makanan serta kebersihan premis sentiasa terjamin.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi MPAJ, penguatkuasaan dilakukan susulan pelbagai pelanggaran peraturan kebersihan yang dikesan di premis terlibat.
“Satu kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 19(1)(d) atas kesalahan membuang atau menumpahkan cecair kotor ke tempat awam,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, satu lagi kompaun dikenakan di bawah UUK 34(2) kerana gagal memastikan premis bebas daripada haiwan perosak seperti tikus, lalat, serangga, kutu atau hama.
MPAJ memaklumkan tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan berdasarkan Undang-Undang Kecil Establishment Makanan (MPAJ) 2007 serta Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MPAJ) 2007.
MPAJ menegaskan pemeriksaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap kebersihan premis sentiasa berada pada tahap memuaskan.









