AGENDA

Harimau Malaya tarik diri Piala Negara CAFA 2025, fokus Piala Asia 2027

16 Jul 2025, 9:30 AM
Harimau Malaya tarik diri Piala Negara CAFA 2025, fokus Piala Asia 2027

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Skuad bola sepak kebangsaan menarik diri daripada menyertai Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang akan berlangsung di Tajikistan dari 29 Ogos hingga 8 September ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat susulan perubahan tarikh perlawanan yang kini bermula di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sehingga memberikan cabaran dalam segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.

"Perubahan tarikh yang berlaku pada saat akhir ini telah menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.

"Situasi ini secara langsung menjejaskan usaha kami untuk membentuk skuad terbaik bagi kejohanan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila beberapa pemain utama kami beraksi di liga utama seperti di Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun," menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski berkata penarikan diri daripada menyertai Piala Negara-Negara CAFA merupakan keputusan tepat dan skuad Harimau Malaya akan memberi fokus sepenuhnya kepada kem latihan menjelang aksi penting menentang Laos dan Nepal pada Oktober dan November.

“Kita memiliki pemain yang beraksi di liga terkemuka dunia seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun. Untuk membawa mereka ke Tajikistan dalam masa singkat serta memastikan mereka bersedia beraksi pada tahap tertinggi adalah tidak realistik dalam jendela ini," katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadual menyambung baki saingan Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Oktober dan di sini (14 Oktober) sebelum bertemu Nepal di Kathmandu (18 November).

Pasukan kebangsaan kemudian berdepan Vietnam di tempat lawan pada Mac tahun depan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619