OLEH UFAIRAH TARMIDZI
PETALING JAYA, 14 JULAI: Kejohanan Liga Ragbi Majlis Sukan Negeri Selangor - Kesatuan Ragbi Selangor (MSNS-KRS) 2025 menjadi medan utama pemilihan pemain untuk mewakili Selangor ke Kejohanan Piala Agong 2025, yang dijadual berlangsung dari 6 September hingga 26 Oktober ini.
Presiden Kesatuan Ragbi Selangor (KRS), Lim Yi Wei berkata, prestasi pemain sepanjang kejohanan ini akan dijadikan penanda aras utama dalam pembentukan skuad negeri yang kompetitif dan berdaya saing.
“Liga tahun ini bukan sekadar kejohanan biasa, malah ia menjadi platform rasmi untuk menilai dan memilih pemain yang layak mewakili Selangor ke Piala Agong nanti.
[caption id="attachment_710322" align="aligncenter" width="686"] Presiden Kelab Ragbi Selangor (KRS), Lim Yi Wei.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita mahu pastikan hanya yang benar-benar layak dan bersedia akan menyarung jersi Selangor dan kehadiran Suhaimi akan membantu memperkukuh proses itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kejohanan Liga Ragbi MSNS-KRS yang berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya di sini, semalam.
Pada masa sama, Yi Wei memaklumkan edisi kali ini juga mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya kategori Wanita 15 Sepasukan (15s) diperkenalkan dalam Kejohanan Liga Ragbi MSNS-KRS sebagai langkah memperkasakan penyertaan wanita dalam sukan ragbi.
[caption id="attachment_710321" align="aligncenter" width="701"] Pasukan KL TIgers RFC menjulang piala selepas memenangi Liga Ragbi MSNS-KRS 2025 di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Pada 21 Jun lalu, pasukan Cobra Venom mencatat sejarah apabila muncul juara sulung Liga Ragbi Wanita MSNS-KRS, selepas menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keputusan 26-12 dalam perlawanan akhir.
Kejohanan kali ini mempertandingkan tiga kategori utama Ragbi 15s: Lelaki Divisyen 1, Lelaki Divisyen 2, dan Wanita 15s, menjadikan liga ini sebagai salah satu platform pembangunan sukan ragbi paling menyeluruh di peringkat negeri.