SHAH ALAM, 14 JULAI: Isu kos dan sukar memenuhi syarat teknikal menyebabkan pengusaha enggan mendaftar operasi taman asuhan kanak-kanak (taska) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), maklum EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.
Bagaimanapun, beliau berkata, Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan khas pemutihan taska tidak berdaftar bagi membantu pengusaha memenuhi piawaian teknikal operasi selain menyediakan Geran Pusat Jagaan bernilai RM5,000.
"Hanya sekitar 5.8 peratus kanak-kanak umur kosong hingga empat tahun di Selangor menyertai taska berdaftar pada 2022, (ia) menunjukkan masih terdapat jurang keperluan dan penawaran taska berdaftar di Selangor.
"Saya juga maklum sebahagian pengusaha taska memerlukan bantuan untuk menampung kos bagi ubah suai agar taska tersebut memenuhi piawaian pendaftaran dengan agensi teknikal.
"Jadi kita perkenalkan geran ini untuk bantu pengusaha agar bilangan pusat jagaan berdaftar meningkat di Selangor," katanya kepada Media Selangor.
Beliau menjelaskan isu lain yang menghalang pendaftaran adalah pengusaha gagal mengurus permohonan dengan betul, premis tidak sesuai dan proses terhenti kerana masalah teknikal yang tidak boleh diselesaikan.
"Setakat ini terdapat 40 taska tidak berdaftar bawah JKM seluruh negeri. Antara syarat permohonan pengusaha mestilah menunjukkan komitmen dengan menunjukkan bukti dokumen diperlukan untuk mendaftar di JKM."
Menurut Anfaal lagi, peningkatan faktor populasi kepada 25.8 peratus melibatkan 11.8 peratus warga emas dan 14 peratus kanak-kanak bawah 10 tahun turut menyebabkan permintaan perkhidmatan penjagaan bertambah.
[caption id="attachment_699750" align="alignnone" width="781"] Kanak-kanak di Taska An-Naurah, Selayang Baru, Gombak pada 30 Mei 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bagaimana daftar taska?
1) Definisi taska
Premis yang terima masuk empat orang atau lebih kanak-kanak berumur bawah empat tahun rumah untuk dijaga dengan upah (Seksyen 2, Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984)
2) Kategori taska
Seksyen 5 Akta 308 peruntuk empat kategori:
a. Institusi
terima 10 orang atau lebih kanak-kanak
ditubuhkan pihak swasta dan badan bukan kerajaan
b. Tempat kerja
terima 10 orang atau lebih kanak-kanak
penubuhan atas inisiatif majikan
c. Komuniti
terima 10 orang atau lebih kanak-kanak
terima bantuan Kerajaan Negeri atau persekutuan
d. Rumah
terima empat hingga sembilan orang kanak-kanak
operasi di kediaman sendiri
3) Syarat pendaftaran
a. daftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS)
b. penuhi syarat minimum JKM
c. penuhi syarat agensi teknikal seperti berikut:
- pihak berkuasa tempatan (PBT)
- bomba dan jabatan kesihatan
- Jabatan Tanah dan Survei (Sarawak)
4) Nisbah penghuni
a) pengasuh & anak asuhan
lahir hingga 1 tahun: 1:3
1 hingga 3 tahun: 1:5
3 hingga 4 tahun: 1:10
b) pengasuh & anak asuhan kurang upaya (OKU)
lahir hingga 1 tahun: 2:3
1 hingga 3 tahun: 2:5
3 hingga 4 tahun: 3:10
5) Keperluan lain (bergantung kepada kawasan pendaftaran)
- lulus Kursus Asuhan Permata
- lengkapkan borang permohonan
- salinan sijil pendaftaran SSM atau ROS jika pertubuhan
- surat kelulusan Jabatan Perancang Bandar
- surat sokongan bomba & pejabat kesihatan daerah
- salinan sijil perakuan pendaftaran taska (bagi permohonan pembaharuan pendaftaran), Kursus Asuhan
- Permata atau kursus asas berkaitan
- sedia jadual harian, menu & aktiviti libat ibu bapa
- sedia pelan lokasi, lantai & pengiraan
- senarai nama pengusaha & kakitangan serta kad pengenalan, pengalaman & sijil (JKM)
- salinan pengesahan suntikan tifoid & pemeriksaan kesihatan
- salinan sijil kursus asas pertolongan cemas atau resusitasi kardiopulmonari (CPR)
- gambar & peraturan taska
- pemasangan kamera litar tertutup
- kemaskini maklumat taska, kakitangan & kanak-kanak dalam Pusat Data Kanak-Kanak Kebangsaaan
- pendaftaran RM50 taska di rumah, RM250 taska institusi, tempat kerja, komuniti & fi lain kepada agensi