OLEH YASMIN RAMLAN
SHAH ALAM, 9 JULAI: Semua saluran paip gas di seluruh negara termasuk yang terlibat dalam letupan di Putra Heights pada 1 April lalu dibina mengikut piawaian keselamatan antarabangsa dan mengambil kira faktor kestabilan tanah.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Izham Hashim berkata, siasatan mendapati paip berkenaan dibina mengikut standard American Society of Mechanical Engineers (ASME) yang diiktiraf di peringkat global serta diguna pakai dalam peraturan Suruhanjaya Tenaga (EC).
“Reka bentuk dan spesifikasi saluran paip mengambil kira keadaan tanah termasuk pergerakan tanah dan sokongan struktur. Kajian geoteknikal turut dijalankan terlebih dahulu,” katanya ketika menggulung perbahasan laporan siasatan letupan paip gas dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
[caption id="attachment_709340" align="aligncenter" width="679"] Kerja-kerja mengeluarkan paip giat dilakukan di sekitar kawasan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 30 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Mengulas aspek teknikal siasatan itu, beliau berkata Petronas Gas Bhd mengawasi kerja penggantian saluran pembetung yang dikaitkan dengan insiden berkenaan pada 27 dan 28 Mac lalu selepas permit berkaitan diluluskan.
Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) pula membantu dari segi pemetaan utiliti dan perancangan jajaran saluran.
Walaupun kerja pembetungan dijalankan berdekatan kawasan letupan, lokasi sebenar insiden itu terletak kira-kira 35 hingga 40 meter dari kawasan kerja-kerja berkenaan.
“Jarak itu agak jauh daripada tempat letupan berlaku,” katanya menambah hasil siasatan juga mendapati tiada bukti berlaku campur tangan manusia dalam insiden itu.
[caption id="attachment_699118" align="aligncenter" width="684"] Situasi terkini di sekitar lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 30 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sedang meneliti kaedah terbaik untuk memperkemaskan sistem saluran paip supaya lebih selamat dan kukuh pada masa depan.
“Hampir setiap hari berlaku insiden akibat kerja-kerja utiliti seperti kabel rosak dan paip air pecah kerana saluran paip dan kabel kita tidak disusun dengan baik.
“Sebab itu kita tubuhkan KUSEL untuk menyusun utiliti. Tapi kita memang dah terlambat kerana infrastruktur bawah tanah sekarang sudah berselerak,” katanya.
Izham memaklumkan, Kerajaan Negeri juga telah mengadakan pertemuan dengan syarikat Tokyo Gas bagi mempelajari kaedah pengurusan saluran paip gas yang lebih selamat.
[caption id="attachment_696445" align="aligncenter" width="682"] Suasana sekitar lokasi kejadian letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights ketika kerja-kerja menyedut keluar air menggunakan pam dari kawah di 'ground zero' masih dilakukan susulan cuaca hujan sejak beberapa hari di Putra Heights, Subang Jaya pada 12 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Katanya, beliau sendiri membawa Petronas Gas dan KUSEL ke Jepun untuk melihat secara langsung sistem saluran paip di negara itu yang jauh lebih panjang tetapi kekal berfungsi walaupun berlaku gempa bumi besar.
“Di Jepun, walaupun saluran paip itu bengkok akibat gempa bumi terbesar, tiada letupan berlaku dan paip masih boleh digunakan,” katanya.