BERITA UTAMA

SUKMA 2026: Selangor baik pulih fasiliti, tidak bina gelanggang baharu

8 Jul 2025, 4:28 AM
SUKMA 2026: Selangor baik pulih fasiliti, tidak bina gelanggang baharu

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Selangor tidak bercadang untuk membina kemudahan gelanggang baharu bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, maklum EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi.

Sebaliknya beliau berkata, Kerajaan Negeri memfokus kepada naik taraf stadium sedia ada termasuk membaik pulih venue sukan lain bagi memastikan kelancaran temasya dwi tahunan itu.

“Pihak Sekreteriat SUKMA telah mengenal pasti venue pertandingan sebagai infrastruktur sukan yang akan digunakan.

“Tiada keperluan untuk membina venue yang baru dan ini dilihat lebih efisien dari segi penjimatan kos namun semua venue pertandingan hanya akan dinaik taraf serta diperbaiki mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia Hilman Idham yang ingin mengetahui status persiapan Kerajaan Negeri sebagai tuan rumah SUKMA Selangor 2026 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Ujarnya lagi, sebanyak tiga fasiliti utama dalam perancangan untuk dibaik pulih iaitu Pusat Akuatik Selangor Darul Ehsan, Lapang Sasar Negara, Subang dan Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi 2, Klang.

Dalam pada itu, Najwan memberitahu anggaran keseluruhan kos penganjuran SUKMA 2026 membabitkan RM250 juta melibatkan aspek pengurusan sekretariat, persiapan atlet, penyediaan teknikal dan peralatan kelengkapan pertandingan.

“Selain itu, perkampungan atlet, sistem teknologi, logistik, pengangkutan, media dan promosi, protokol, hadiah, cenderamata, keselamatan, kecemasan selain majlis pembukaan dan penutup.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri hanya menyediakan RM100 juta kepada Sekretariat SUKMA, untuk menampung kos tinggi ini pentadbiran akan menggembleng tajaan dari anak-anak syarikat negeri termasuk swasta yang akan turut membantu penganjuran kali ini,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619