PBT

Arked Mara Klang promosi pelancongan warisan, seni kreatif

1 Jul 2025, 4:49 PM
Arked Mara Klang promosi pelancongan warisan, seni kreatif
Arked Mara Klang promosi pelancongan warisan, seni kreatif
Arked Mara Klang promosi pelancongan warisan, seni kreatif

Oleh Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 1 JULAI: Program Sentuhan Kreatif di Arked Mara mengangkat martabat pelancongan warisan dan seni kreatif di Bandaraya Diraja Klang.

Datuk bandar Klang berkata festival berkenaan bukan sekadar acara seni, sebaliknya menjadi platform menghubungkan komuniti dengan seni dan budaya selain mengukuhkan ekonomi tempatan.

“Arked Mara Klang merupakan antara mercu tanda warisan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

"Peniaga bukan sahaja menjual, malah turut mendidik, memelihara dan mempromosikan budaya Melayu menerusi produk kontemporari seperti baju-T, topi, beg, rantai kunci dan hasil tangan bermotifkan seni klasik.

“Ini adalah satu bentuk pemerkasaan budaya melalui keusahawanan yang sangat kita galakkan,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain ketika merasmikan festival tersebut Ahad lalu.

[caption id="attachment_707961" align="alignnone" width="758"] Antara gerai yang menjual produk pelancongan pada Program Sentuhan Kreatif di Arked Mara Klang pada 29 Jun 2025. Foto Facebook MBDK[/caption]

Menurut Abd Hamid, suntikan elemen kreatif menyegarkan semula ruang tersebut sekali gus menjadikannya lebih menarik kepada pembeli, pelancong, pencinta seni dan golongan muda.

“Inisiatif ini juga merapatkan jurang generasi melalui demonstrasi pembuatan tanjak, songkok, busana tradisional dan ukiran seni yang menonjolkan warisan Melayu.

“Saya amat berbangga kerana Sentuhan Kreatif bukan sahaja menghidupkan ruang awam dengan warna-warni ekspresi seni, malah menjadi pemula kepada pusat pengumpulan sejarah dan warisan Melayu di tengah-tengah Arked Jalan Melayu Klang. Inilah nadi warisan kita,” katanya.

[caption id="attachment_707964" align="alignnone" width="803"] Persembahan seni budaya pada Program Sentuhan Kreatif di Arked Mara Klang pada 29 Jun 2025. Foto Facebook[/caption]

Program dua hari bermula Sabtu menampilkan pelbagai elemen seni termasuk mural, seni autisme, kraftangan dan fotografi warisan sebagai medium pendidikan dan pendedahan kepada masyarakat.

“Saya juga amat menggalakkan lebih banyak usaha sebegini diteruskan, bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat, tetapi juga menjadikan Klang sebagai destinasi pelancongan warisan kreatif yang unik dan beridentiti.

“Inilah model pembangunan budaya berasaskan komuniti yang kita mahu tonjolkan,” ujarnya.

Festival ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Warisan Arked Jalan Melayu, Mara Daerah Klang, Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Acara turut menyaksikan pemasyhuran Arked Mara Klang sebagai Pusat Pemula Rujukan Warisan Sejarah Melayu Bandaraya Diraja Klang, sebagai simbolik kepada usaha memartabatkan seni dan warisan di peringkat nasional.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619