AGENDA

IPT perlu pantau tindakan pelajar ambil inisiatif sendiri

29 Jun 2025, 2:41 PM
IPT perlu pantau tindakan pelajar ambil inisiatif sendiri

JERTIH, 29 JUN: Institut Pendidikan Tinggi (IPT) perlu memantau sebarang tindakan pelajar masing-masing yang mengambil inisiatif sendiri termasuk menyewa bas persiaran untuk pulang ke kampung semasa musim cuti, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata hal ini penting untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, khususnya melibatkan pelajar.

"Saya minta pihak universiti supaya ada komunikasi dan langkah-langkah yang diambil (pelajar) sendiri itu dipantau oleh mereka (IPT)," katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa menziarahi rumah Allahyarham Nurly Sahirah Azman di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Datuk Dr Fadzli Adam.

Allahyarham Nurly Sahirah merupakan antara 15 penuntut UPSI yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun lepas.

Dalam pada itu, Zambry berkata pihaknya sedang meneliti pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan susulan nahas ngeri itu termasuk memastikan perjalanan pelajar universiti dibuat pada waktu siang dan tidak lagi pada waktu malam.

"Kita mengambil maklum semua perkara dan pandangan berkenaan, terutama (yang dikemukakan) melalui media sosial, untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini," katanya.

Beliau berkata kementerian sentiasa bertindak pantas dan tuntas dalam menyelesaikan masalah yang menimpa pelajar, khususnya melibatkan kematian.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619