ADN

Penantian 28 tahun berakhir, penduduk Taman Daya terima hak milik

29 Jun 2025, 9:00 AM
Penantian 28 tahun berakhir, penduduk Taman Daya terima hak milik

KEPONG, 29 JUN: Penantian selama hampir tiga dekad berakhir apabila seramai 1,120 penduduk Taman Daya, Kepong menerima surat hak milik tanah daripada Kerajaan Negeri, sekali gus menamatkan isu pemilikan yang berlarutan sejak 28 tahun lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling berkata, pemberian hak milik itu melibatkan penduduk daripada 525 unit rumah kedai, 260 unit rumah teres, 250 unit rumah pangsa kos rendah dan 176 unit pangsapuri servis Astana Square.

“Secara keseluruhan, hampir 90 peratus isu pemilikan tanah di Taman Daya berjaya diselesaikan sepenuhnya selepas 28 tahun penduduk menunggu.

“Masalah ini berpunca daripada kegagalan pemaju yang muflis dan tidak bertanggungjawab. Justeru, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk campur tangan bagi membantu penduduk memperoleh geran hak milik. Ia amat bermakna berbanding apa yang mereka miliki sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Astana Square dan Notis 5A Taman Daya di Jaya Daya Utama, Kepong oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, semalam.

Sementara itu, Pei Ling memaklumkan antara isu yang akan dibawa pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang ialah berkaitan gejala pedofilia.

Jelasnya, gejala berkenaan semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.

“Kita lihat kanak-kanak hari ini terlalu bebas beraksi di media sosial, malah ada yang menggunakan telefon ibu bapa untuk melayari platform tersebut dengan mudah.

“Kita khuatir perkara ini terus berleluasa. Justeru, saya akan membawa usul ini dan menggesa Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan rakyat Selangor dapat hidup dalam suasana yang aman dan selamat,” katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619