SHAH ALAM, 26 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat berhenti bertelagah serta berbalah hanya kerana perbezaan pandangan atau kecenderungan.
Dalam perutusan sempena Maal Hijrah, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Islam mengajar bahawa kekuatan lahir daripada kesatuan bukan perpecahan, malah mengingatkan umat jangan biarkan api kebencian dan dendam memusnahkan keharmonian yang dibina.
"Lebih mendukacitakan, budaya mengadu domba, menyebar fitnah dan mencerca sesama sendiri semakin menjadi kebiasaan. Ini bukanlah akhlak seorang Muslim. Rasulullah SAW mengajarkan kita agar menjaga lisan, kerana lidah yang tajam adalah lebih parah dari mata pedang.
"Hentikanlah budaya saling menjatuhkan dan mencari salah. Marilah kita menyemai budaya saling menasihati dengan lembut dan berhemah, agar hati tidak terluka dan ukhuwah tetap terpelihara," titah Baginda di Facebook Selangor Royal Office.
Baginda mengingatkan rakyat untuk menjadikan tahun baharu sebagai medan untuk bermuhasabah dan memperbaharui tekad menjadi Muslim yang lebih baik, menjiwai erti sebenar ukhuwah serta kasih sayang sesama insan.
"Janganlah kita berlagak menjadi 'hero' atau merasa diri terlalu hebat sehingga menafikan hak dan sumbangan orang lain. Sikap angkuh ini hanya mencemarkan keikhlasan dalam perjuangan.
"Kesombongan bukan tanda kekuatan, tetapi kelemahan jiwa yang belum tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT. Jadilah insan yang rendah hati, kerana kemuliaan di sisi Allah hanya milik mereka yang bertakwa," tegas Baginda.
Titah Sultan Selangor, teguran mestilah diamalkan dengan beradab dan kebijaksanaan bukannya dengan penghinaan serta bertukar menjadi cercaan.
“Tegurlah saudara kita dengan penuh kasih sayang, kerana tujuan teguran bukanlah untuk memalukan, tetapi untuk memperbaiki. Teguran yang lahir dari hati yang jujur akan meresap ke hati yang bersih,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.
Baginda berharap ukhuwah Islamiyyah terus mekar dan negara sentiasa dalam lindungan serta rahmat Ilahi.
“Semoga setiap daripada kita diberi kekuatan untuk berhijrah ke arah lebih baik. Baik dalam solat dan ibadah, dalam hubungan sesama manusia serta tanggungjawab sebagai warganegara dan umat Islam,” titah baginda.