ad
AGENDA

Harga RON95 kekal, RON97, diesel naik tujuh sen

25 Jun 2025, 6:27 PM
Harga RON95 kekal, RON97, diesel naik tujuh sen

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Harga runcit RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter manakala harga runcit RON97 meningkat kepada tujuh sen seliter, daripada RM3.14 seliter kepada RM3.21 bagi tempoh 26 Jun hingga 2 Julai.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter manakala di Semenanjung Malaysia naik sebanyak tujuh sen seliter daripada RM2.81 seliter kepada RM2.88 seliter bagi tempoh sama.

“Seiring peningkatan harga pasaran minyak dunia, Kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON97 pada RM3.21 seliter manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada RM2.88 seliter.

“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan penetapan harga itu adalah berdasarkan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Kenyataan itu memaklumkan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit petrol RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.

“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.