JERTIH, 23 JUN: Ibu kepada penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Erika Alisya Mohd Zaidi yang parah dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu memohon orang ramai berdoa semoga anaknya segera sembuh seperti biasa.
Noorzailizan Zakaria@ Ariffin, 41, berkata anaknya yang cedera pada leher dan kedua-dua tangan kini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu selepas dipindahkan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabtu lalu.
“Keadaannya stabil dan menunjukkan perkembangan positif namun semua pergerakan perlu dibantu kerana kedua-dua tangannya tidak boleh digerakkan dengan baik kerana patah banyak bahagian.
“Tangan kanan Nur Erika Alisya dimasukkan besi pada bahu, siku dan lengan manakala tangan kiri dimasukkan besi pada siku dan pergelangan tangan. Selain itu dia terpaksa memakai alat penyokong leher kerana tulang leher retak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Suri rumah yang tinggal di Kampung Alor Keladi, Hulu Besut itu berkata kini dia dan suami Mohd Zaidi Mohd Yunan, 45, yang bekerja sebagai pembantu tukang rumah bergilir menjaga anak sulung dari tiga beradik itu.
Menurutnya Nur Erika Alisya, 21, masih trauma dan sering teringatkan kejadian ngeri yang meragut nyawa 15 rakan kampusnya itu.
“Contohnya ketika menaiki ambulans dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus ke HSNZ pada Sabtu lalu, dia menangis ketakutan sepanjang jalan. Dia juga tidak boleh melihat kipas siling berpusing dengan kuat kerana terbayang kejadian itu,” katanya.
Sehubungan itu, Noorzailizan berharap anaknya yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam segera sembuh demi meneruskan cita-cita menjadi ustazah.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti di Tanjung Malim, Perak terbalik sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di JRTB.
Nahas itu menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.
- BERNAMA