SHAH ALAM, 22 JUN: Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning akan bertemu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) danJabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendapatkan perkembangan projek mitigasi banjir.
S Preakas berkata pembinaan kolam takungan air perlu disegerakan bagi mengelak kejadian banjir terus berulang sekali gus menyebabkan kerugian terhadap mangsa.
“Cadangan membina kolam takungan yang melencongkan air dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) supaya tidak masuk ke Bukit Kemuning telah dipersetujui awal bulan lalu sebagai salah satu langkah segera elak kejadian banjir.
“Namun sehingga hari ini tiada tindakan daripada pihak bertanggungjawab. Kita hendak tahu apa perkembangan terkini dan minta ahli majlis dapatkan tarikh untuk adakan pertemuan dengan MBSA dan JPS secepat mungkin.
“Perlu ada tindakan segera kerana jika hujan lebat tidak sampai sejam air naik di beberapa kawasan. Sampai bila rakyat kena tanggung beban dan kerugian,” katanya kepada Media Selangor.
Baru-baru ini, hujan lebat berterusan sejak jam 4 pagi menyebabkan beberapa kawasan rendah lain di Shah Alam dan Klang termasuk Jalan Kebun dan sekitar Kota Kemuning dinaiki air.
Berikutan itu, lebih 100 penduduk di sekitar Kota Kemuning terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Aster selepas kawasan itu dilanda banjir kilat.
Antara kawasan terjejas termasuklah Taman Bukit Kemuning, Taman Greenville dan penempatan tanah lot di sekitar Bukit Kemuning. Bagaimanapun, semua penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing petang semalam.
Dalam pada itu, Preakas turut memohon supaya Kerajaan Negeri mengemas kini perkembangan berhubung bantuan dana bencana kepada semua mangsa banjir khususnya di Sri Muda.
“Mereka yang terkesan banjir kilat menerima bantuan daripada dana bencana disediakan Kerajaan Negeri. Tetapi sehingga kini, belum terima lagi walaupun hampir tiga bulan berlalu.
“Harap ada tindakan segera untuk meringankan beban penduduk yang mengalami banyak kerosakan harta benda,” katanya.