ad
BUDAYA

Pensel

22 Jun 2025, 8:30 AM
Pensel

Oleh Intan Zubaidah

Fail, Pen dan Pensel duduk sejajar. Pengokot duduk sedikit mengiring daripada pandangan penonton. Tepuk tangan meriah, menyambut forum yang diadakan Unit Pengasah Pensel petang itu.

“Fail, bagaimanakah suasana dunia penghasilan tulisan waktu ini?” tanya Pengokot, membuka bicara.

Satu nafas, Fail tarik dalam-dalam. Ia perlukan ketenangan sebelum menjawab soalan moderator forum itu.

Jawapan hendaklah sesuai fakta. Ia tidak mahu menyebarkan berita palsu.

Dunia penghasilan tulisan kini, sangat meriah. Pensel-pensel berbakat bermunculan dan memberikan warna baharu…” jawab Fail dalam senyuman.

Jawapan itu ia nyatakan berdasarkan kiriman-kiriman kertas yang diterima. Kertas yang dihantar oleh para pensel, akan ia baca satu demi satu. Baik tulisan yang kemas, tulisan berangkai, tulisan biasa dan tulisan cakar ayam, semuanya ia baca.

“Beberapa pensel ini pun telah menarik perhatian kaum Pen Merah. Mereka mengakui bahawa tulisan yang dihasilkan oleh pensel-pensel ini layak untuk diketengahkan…” sambung Fail lagi.

Barisan Pen Merah yang hadir sebagai penonton, ikut tersenyum. Mereka bersetuju dengan jawapan yang diberikan Fail. Kaum Pen Merah dan Fail adalah golongan paling prihatin tentang dunia penghasilan tulisan.

Kertas-kertas yang sudah dinilai Fail, akan diserahkan pula kepada barisan Pen Merah. Barisan Pen Merah seterusnya akan memberi ulasan tulisan-tulisan yang dihasilkan. Ulasan ini akan menjadi panduan kepada para pensel tentang apa-apa sahaja yang perlu diperbaiki.

“Tugas Fail sangat memberi pengaruh besar dalam dunia penghasilan tulisan. Bagaimana Fail melihat perubahan yang terjadi pada masa ini?” soal Pengokot, ingin menyelam lebih dalam.

“Saya gembira kerana para pensel sudah semakin yakin untuk cuba menghasilkan tulisan yang lebih beragam-ragam.” Jawab Fail, tenang.

“Soalan seterusnya untuk Pen Hitam. Pen Hitam pernah mengalami sendiri proses evolusi daripada pensel kepada pen, bagaimana pen melihat proses itu?” soal Pengokot, ingin tahu.

Mata Pen Hitam meliar ke arah penonton. Ratusan alat tulis sedang memberi perhatian. Dapat ia lihat, barisan pensel duduk di bahagian belakang. Mungkin kerana menghormati kaum pen. Barisan hadapan tempat duduk penonton pula didominasi kaum pen dengan berbagai-bagai warna.

Kaum Pen Merah duduk segak di barisan paling hadapan, sebagai mereka yang berpengalaman luas dan dipercayai sebagai pembimbing kepada alat-alat tulis yang lain. Kaum Pen Biru duduk rapi di antara kaum Pen Merah. Mereka juga sangat dihormati kerana idea, kualiti, pengalaman serta prestasi mengagumkan.

Kaum Pen Hitam pula duduk berserakan. Wajah mereka begitu serius, seserius keinginan mereka dalam menghasilkan tulisan. Mereka kaum yang paling rajin dan aktif menghasilkan tulisan. Mereka hadir di sini pun, kemungkinan besarnya adalah kerana mahu mendapat idea-idea baharu dalam menghasilkan tulisan berkualiti.

“Proses evolusi boleh saya katakan, tidak semudah itu. Kita tidak boleh semata-mata menghasilkan tulisan tanpa tujuan yang jelas. Kita perlu mencari jati diri dan yang paling penting, tidak terikut-ikut dengan cara orang lain…” beritahu Pen Hitam, lantang.

Seluruh penonton terdiam. Pen Hitam begitu tegas dengan pernyataannya. Jelas, ia tidak sekadar menjawab soalan tetapi menyampai amanat.

“Saya yakin, para pensel yang ada pada hari ini adalah penghasil tulisan yang berbakat besar. Yang penting, mereka mahu belajar, mahu berusaha dan tidak cepat puas. Semua pensel layak berevolusi menjadi pen atau bahkan penanda, jika mereka tekun menghasilkan tulisan dengan cara masing-masing…” seru Pen Hitam, bersemangat.

Riak wajah Pen Hitam yang begitu meyakinkan, menunjukkan bahawa ia memang benar-benar faham tentang dunia penghasilan tulisan. Pengalaman yang ia miliki cukup mematangkannya dalam menyampaikan pendapat.

Pandangan Pengokot beralih ke arah Pensel. Alat tulis yang sebatang ini, paling kaku antara ketiga-tiga panel yang ada di atas pentas. Wajahnya asing, tetapi namanya terselit di halaman kertas yang diterbit Unit Pengasah Pensel.

“Kita beralih kepada Pensel.” Ujar Pengokot dengan harapan Pensel sudah bersedia.

Pensel menelan liur. Ia sama sekali tidak dapat menyembunyikan gugupnya. Ia menggenggam-genggam tangan untuk mengurang debar. Ini adalah kali pertama ia bercakap di depan umum sebagai penghasil tulisan.

“Pensel adalah salah satu pensel yang disebut-sebut sebagai penghasil tulisan yang menonjol pada masa ini. Di mana letaknya kejayaan sebatang pensel itu, menurut Pensel?” umpan Pengokot.

“Berevolusi daripada pensel menjadi pen, dijemput menjadi panel di forum-forum atau menerima hadiah, bukan satu kejayaan mutlak atau kebanggaan untuk saya.” Jawab Pensel, kaku namun tegas.

Suasana menjadi tegang. Semua alat tulis mulai berkomentar. Mereka agak terkejut kerana sebatang pensel kayu yang tadinya terlihat kaku, tiba-tiba begitu berani mengeluarkan pernyataan yang boleh ditafsir sombong itu.

“Tulisan pun masih bengkang-bengkok!” Pertikai kaum pen dari arah kerusi penonton.

Pensel menelan liur, mereda gementar. Ia tidak yakin, apakah pendapatnya akan diterima semua yang mendengar? Mungkin juga dia akan dikecam kerana bercakap seakan-akan pintar.

“Saya hanya akan berasa berjaya, jika tulisan saya mampu difahami oleh semua yang membaca.” lanjut Pensel, jujur.

Semua alat tulis diam dan memberi perhatian. Urat sinis di wajah mereka mulai kendur. Mereka cuba memberi peluang kepada Pensel menghurai kata-katanya.

“Saya di sini bukan untuk nama. Bukan juga untuk berlumba, siapa dahulu yang berevolusi menjadi pen? Bukan pula untuk menyaingi mana-mana alat tulis yang sudah lama menghasilkan tulisan kerana pesaing sebenar saya adalah diri saya sendiri. Saya hanya ingin membuktikan kepada diri saya sendiri, walaupun mata pena saya tidak setajam mata pena alat tulis lain, tetapi ia tetap bermanfaat.” Beritahu Pensel, tenang.

“Apa harapan Pensel dalam dunia penghasilan tulisan ini?” tanya Pengokot, inginkan penjelasan.

“Saya menghasilkan tulisan kerana minat. Saya mahu belajar lebih banyak gaya tulisan. Harapan saya cuma satu. Saya harap keberadaan saya di sini diterima dan memberi manfaat kepada mereka yang membaca.” Simpul Pensel lalu melemparkan senyuman paling manis yang mampu ia ukir.

Pegawai Unit Pengasah Pensel memberi isyarat kepada Pengokot bahawa masa sudah tamat. Pengokot menutup forum hari itu dengan ucapan terima kasih, disambut meriah dengan tepuk tangan penonton yang hadir.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.