SIBU, 17 JUN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis rokok dan minuman keras bernilai RM5.05 juta dalam satu operasi berhampiran Jalan KM16 Sibu-Bintulu kelmarin.
Pemangku Komander PPM Wilayah 5, Supt Rusdin Banin berkata rampasan itu dilakukan pada 5.35 petang menerusi Op Taring Landai hasil maklumat awam.
“Sepasukan pegawai dan anggota PPM dari Sibu menahan sebuah lori kargo putih dan hijau bernombor pendaftaran QTE 3442 yang berada di tepi jalan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan muatan rokok serta minuman keras yang dipercayai tidak bercukai dan tanpa dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lori berkenaan ditahan dan kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.
Katanya PDRM melalui PPM Wilayah 5 Sarawak amat mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi membanteras kegiatan penyeludupan secara berterusan.
Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 Jun tahun ini, PPM Wilayah 5 telah melaksanakan 84 serbuan di seluruh Sarawak dengan 94 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan seperti penyeludupan barangan tidak berkastam, barangan kawalan bersubsidi, hidupan liar serta kemasukan pendatang asing tanpa izin.
“Nilai keseluruhan rampasan sepanjang tempoh itu dianggarkan mencecah RM77.33 juta,” katanya.
Orang ramai yang didapati memiliki, menyimpan atau menyembunyikan barang larangan tanpa kelulusan boleh disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
- BERNAMA