AGENDA

Serangan Israel di Iran bunuh 224 individu, lebih 1,000 cedera

16 Jun 2025, 9:42 AM
Serangan Israel di Iran bunuh 224 individu, lebih 1,000 cedera

ISTANBUL, 16 JUN: Sekurang-kurangnya 224 orang terbunuh dan lebih 1,000 lagi cedera sejak Israel melancarkan serangan ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.

"Seramai 224 rakyat Iran terkorban dan lebih seribu lagi cedera akibat serangan yang dilancarkan oleh entiti Israel ke atas beberapa lokasi di dalam negara sepanjang tiga hari lalu," menurut Agensi Berita Mehr yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Iran awal pagi Isnin.

Jurucakap kementerian Hossein Kermanpour berkata jumlah keseluruhan kematian dan kecederaan kini mencecah 1,481 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 1,277 orang telah dibawa ke hospital universiti untuk menerima rawatan, manakala selebihnya telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan perubatan.

Lebih 90 peratus daripada mangsa yang cedera adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut Kermanpour dalam satu hantaran di media sosial.

Angka korban itu susulan ketegangan yang semakin memuncak selepas Israel melancarkan serangan pada Jumaat ke atas kemudahan nuklear dan peluru berpandu Iran yang menyebabkan kematian beberapa pegawai tertinggi tentera dan saintis, sekali gus mendorong Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke arah sasaran di Israel.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619