AGENDA

Hoki Piala Negara-Negara: Malaysia seri 3-3 lawan Pakistan

16 Jun 2025, 8:02 AM
Hoki Piala Negara-Negara: Malaysia seri 3-3 lawan Pakistan

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Hasrat Malaysia untuk memulakan kempen kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Dunia (FIH) 2025 dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila mencatat keputusan seri 3-3 dengan Pakistan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.

Pada aksi Kumpulan B, Pakistan menampilkan aksi memberangsangkan apabila mendominasi suku pertama perlawanan dengan dua jaringan menerusi jaringan padang Ahmad nadeem pada minit keenam dan pukulan sudut penalti Abdul Rehman tiga minit kemudian.

Skuad kendalian Sarjit Singh mula menunjukkan permainan sebenar apabila bangkit menerusi dua gol hasil jaringan Fitri Saari pada minit ke-49 sebelum Syed Mohd Syafiq Syed Cholan menyamakan kedudukan 2-2 menerusi pukulan sudut penalti, pada minit ke-52.

Pakistan kembali di depan dua minit berselang menerusi jaringan Waheed Ashraf Rana namun Syed Mohd Syafiq menyelamatkan maruah tuan rumah apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-56.

Keputusan seri malam ini menyaksikan skuad Speedy Tigers menghuni tangga kedua kumpulan di belakang New Zealand yang mengutip tiga mata selepas mengalahkan Jepun 2-1.

Pakistan pula di tempat ketiga dengan satu mata manakala Jepun keempat tanpa sebarang mata.

Malaysia dijadualkan berdepan New Zealand pada perlawanan kedua Kumpulan B, esok.

Sementara itu, Sarjit berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang menunjukkan kebangkitan luar biasa biarpun kelihatan agak gugup di awal perlawanan.

“Kita tidak boleh salahkan pemain kerana perlawanan ditunda dari 8 malam kepada 8.40, kemudian 9.20 baru bermula. Mungkin ia menyebabkan pemain gugup di babak awal permainan.

“Sebagai jurulatih, apa lagi boleh kita harapkan. Mereka telah tunjukkan kebangkitkan daripada ketinggalan 2-0, samakan kedudukan 2-2 kemudian daripada 3-2, kita samakan lagi 3-3. Kita berpeluang untuk menang tapi sudah adat perlawanan,” katanya.

Kapten pasukan kebangsaan Muhammad Marhan Mohd Jalil mengakui skuad negara dihukum kerana memberi ruang kepada lawan untuk mendominasi perlawanan namun kesilapan itu berjaya ditebus pada separuh masa kedua perlawanan.

“Hormat dalam perlawanan perlu ada tapi kita tetap kena tunjuk kebolehan dalam padang,” katanya.

Selain itu, Fitri pula meminta rakan sepasukan untuk menguatkan mental bagi mengurangkan kesilapan apabila berdepan juara bertahan New Zealand, malam esok.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619