AGENDA

Razarudin sah tamat kontrak ketua polis negara 22 Jun ini

15 Jun 2025, 8:56 PM
Razarudin sah tamat kontrak ketua polis negara 22 Jun ini

KUALA PILAH, 15 JUN: Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan akan menamatkan kontrak sebagai Ketua Polis Negara pada 22 Jun ini, selepas dua tahun memegang tampuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata hasrat tersebut turut didorong oleh permintaan ibunya Rahmah Abdul Rahman, 86, yang menasihatinya agar tidak menyambung kontrak demi memberi laluan kepada individu baharu.

“Ini adalah program terakhir saya, insya-Allah kalau tiada apa-apa 20 Jun ini Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur akan berlaku.

“Pertama sekali saya kena beritahu, ibu saya memang kalau boleh dia cakap jangan sambung lagi (kontrak) dan sepatutnya saya habis kontrak memang tidak perlu sambunglah.

“Apabila ibu saya berhasrat begitu, saya akur. Sebutan daripada mulutnya ialah satu doa, saya tidak berani ingkar dengan apa yang dikehendaki ibu saya,” katanya kepada pemberita pada Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat MADANI 2025 Ketua Polis Negara di Kampung Parit Seberang di sini hari ini.

Razarudin berkata hajat tersebut kemudian disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata tiada keperluan untuknya menyambung kontrak lagi kerana tempoh dua tahun itu sudah memadai dan kini perlu ada pengganti baharu.

Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-14 selama dua tahun secara kontrak selepas bersara, berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau yang dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619