AGENDA

Final Terbuka Indonesia: Pearly-Thinaah tewas di tangan beregu nombor satu dunia

8 Jun 2025, 8:30 PM
Final Terbuka Indonesia: Pearly-Thinaah tewas di tangan beregu nombor satu dunia

JAKARTA, 8 JUN: Hasrat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk melakar kejuaraan sulung di kejohanan bertaraf Super 1000 tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China pada aksi final Terbuka Indonesia 2025 di Istora Senayan di sini, hari ini.

Dalam perlawanan sengit selama 87 minit, pasangan pilihan keempat dunia itu akhirnya terpaksa tunduk 25-23, 12-21, 19-21.

Pearly-Thinaah berjaya bangkit daripada ketinggalan 8-14 pada set pembukaan untuk meraih kemenangan 25-23 namun dominasi lawan pada dua set berikutnya menyaksikan pasangan negara gagal mengekalkan rentak.

Kini berada di kedudukan keempat dunia dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Pearly-Thinaah beberapa kali cuba mendahului permainan namun pasangan China berjaya mengekalkan kelebihan mereka sehingga ke penghujung.

Selepas perlawanan, Pearly menjelaskan masih banyak ruang yang perlu dipelajari dan diperbaiki untuk meningkatkan prestasi terutamanya penetapan minda (mindset) meskipun telah turun bermain dengan semangat tinggi.

"Kami sebenarnya berada dalam kedudukan yang baik, sepatutnya boleh tamatkan perlawanan dengan kelebihan. Tapi di penghujung, mungkin kami agak hilang fokus sedikit," katanya.

"Sebenarnya, dari awal permainan lagi kami sudah rasa penat, tapi kami saling ingatkan sesama sendiri untuk terus bertahan, sebab ini perlawanan terakhir. Kami hanya mahu beri segalanya yang kami ada di atas gelanggang,” tambah Pearly.

Sementara itu, Thinaah berkata mereka akan menggunakan masa lapang bulan ini untuk berehat sepenuhnya dan memulihkan tenaga kerana tiada kejohanan besar yang akan disertai dalam tempoh terdekat.

Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah sekali lagi bergelar naib juara di Jakarta selepas turut mara ke pentas akhir Indonesia Masters awal tahun ini.

Prestasi konsisten mereka bagaimanapun mengukuhkan reputasi sebagai antara pencabar utama dalam acara beregu wanita di peringkat dunia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619