AGENDA

Terbuka Indonesia: Tumpaskan regu China, Pearly-Thinaah mara ke final esok

7 Jun 2025, 8:48 PM
Terbuka Indonesia: Tumpaskan regu China, Pearly-Thinaah mara ke final esok

JAKARTA, 7 JUN: Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke final Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas menumpaskan pilihan kelima dari China, Li Yi Jing-Luo Xu Min dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan di sini hari ini.

Pasangan di ranking keempat dunia itu mencatat kemenangan 21-12, 17-21, 21-11 dalam pertarungan sengit selama 64 minit, yang turut diserikan dengan sorakan padu penyokong tuan rumah.

“Kami gembira kerana berjaya ubah rentak permainan dan menyokong satu sama lain dengan baik. Ia banyak membantu kami di gelanggang,” kata Pearly selepas tamat perlawanan.

Gandingan negara itu turut menzahirkan kepuasan dengan prestasi yang ditampilkan, namun tetap mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan menjelang penampilan kedua mereka di pentas final di bumi Indonesia.

Sebelum ini, Pearly-Thinaah tewas di pentas final Masters Indonesia Januari lalu kepada pasangan Korea Selatan, Kong Hee Yong-Kim Hye Jeong, dalam aksi tiga set 12-21, 21-17, 18-21.

“Kami akan ambil masa untuk rehat, berbincang dengan jurulatih dan beri tumpuan pada pemulihan menjelang perlawanan akhir,” tambahnya.

Pearly-Thinaah dijadualkan menentang sama ada pasangan nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China atau gandingan Korea Selatan di ranking ketiga dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee, yang akan beraksi malam ini.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, 21-23, 21-15, 21-11.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619