AGENDA

Cubaan seludup 1.1 tan beras Siam gagal, nilai keseluruhan rampasan RM84,400

26 Mei 2025, 3:02 AM
Cubaan seludup 1.1 tan beras Siam gagal, nilai keseluruhan rampasan RM84,400

KOTA BHARU, 26 MEI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga mematahkan cubaan menyeludup masuk 44 kampit beras Siam seberat 1.1 tan dalam operasi di Kampung Mahligai dekat Gunong, Bachok semalam.

Komander PPM Wilayah Tiga ACP Zulafendy Hassan berkata dalam Ops Taring Landai/Kontraban kira-kira 11 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Marin, Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor mengesan sebuah lori jenis Hino dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh.

Beliau berkata sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu lori berkenaan bertindak memecut lori sebelum memberhentikannya di bahu jalan Kampung Mahligai.

“Suspek kemudiannya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran. Usaha mengejar suspek dijalankan, namun dia gagal ditemukan.

“Pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemukan 44 kampit beras Siam, dipercayai diseludup dari negara jiran dengan anggaran berat 25 kilogram setiap kampit. Nilai keseluruhan termasuk lori berjumlah RM84,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulafendy berkata kesemua barangan dirampas telah dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor sebelum diserahkan kepada Jabatan Kawal Selia Padi dan Beras Negara, Cawangan Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 20, Akta Padi dan Beras Negara 1994 kerana memiliki dan mengawal beras secara tidak sah yang boleh menimbulkan syak melakukan kesalahan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619