AGENDA

Sidang Kemuncak Asean Ke-46 bincang isu serantau, global, perkukuh kerjasama, ekonomi

26 Mei 2025, 1:25 AM
Sidang Kemuncak Asean Ke-46 bincang isu serantau, global, perkukuh kerjasama, ekonomi

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Sidang Kemuncak Asean Ke-46 yang berlangsung dua hari bermula hari ini merupakan platform utama bagi pemimpin Asean meneliti kemajuan rantau itu dalam tiga tunjang utama iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata sidang kemuncak itu juga menjadi medan utama untuk membincangkan isu serantau dan global yang semakin kompleks termasuk isu Laut China Selatan, krisis kemanusiaan di Gaza dan Myanmar, tarif perdagangan unilateral oleh kuasa besar, cabaran ekonomi digital dan rantaian bekalan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sering menegaskan bahawa di Kepengerusian Asean tahun ini, Malaysia memikul tanggungjawab penting dalam membentuk hala tuju Komuniti Asean yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya tahan.

“Fokus utama Malaysia adalah untuk memastikan Asean kekal relevan, responsif dan berpaksikan rakyat selaras dengan wawasan jangka panjang Asean 2045 yang bakal dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) sempena Sidang Kemuncak Asean Ke-46 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Selain sidang kemuncak bersama negara anggota Asean, Tunku Nashrul berkata Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Kedua dan inisiatif baharu Sidang Kemuncak Asean-GCC-China, yang masing-masing dijadualkan berlangsung esok dan diketuai Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025.

Beliau berkata Sidang Kemuncak Asean-GCC bakal meneliti pelaksanaan Rangka Kerjasama Asean-GCC 2024-2028 termasuk inisiatif dalam perdagangan bebas, pendidikan, pembangunan mampan dan keterhubungan budaya serta digital.

“Sidang Kemuncak Asean-GCC kedua juga mengukuhkan komitmen jangka panjang kedua-dua rantau yang telah menjalinkan hubungan sejak 1990.

“Asean dan GCC merupakan dua entiti ekonomi penting, dengan jumlah dagangan mencecah USD130.7 bilion dan pelaburan GCC ke Asean sebanyak USD390.2 juta,” katanya.

Menyentuh mengenai atur cara hari pertama Sidang Kemuncak Asean Ke-46 hari ini, Tunku Nashrul berkata sidang hari ini menyaksikan pelbagai sesi penting melibatkan perdana menteri bersama pemimpin Asean dan wakil pelbagai sektor.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619