AGENDA

Sidang Kemuncak Asean: KLCC libatkan lebih 1,000 petugas perhebat persiapan

24 Mei 2025, 2:15 AM
Sidang Kemuncak Asean: KLCC libatkan lebih 1,000 petugas perhebat persiapan

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) giat mempertingkatkan persiapan sebagai lokasi rasmi penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini.

Antara usaha yang dijalankan termasuk mempercepat kerja-kerja baik pulih serta mengerahkan lebih 1,000 petugas bagi memastikan kelancaran penganjuran acara serantau berprofil tinggi tersebut.

Timbalan Pengurus Besar KLCC Robert Hatton-Jones berkata pengalaman sebagai tuan rumah kali ketiga sidang kemuncak ini menjadi aset penting dalam menjayakan acara dengan lancar.

“Memandangkan ini kali ketiga kami menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean, kami mempunyai pasukan berpengalaman yang arif dengan semua keperluan sidang ini,” katanya kepada Bernama.

Hatton-Jones berkata penambahbaikan utama termasuk peningkatan sistem audio visual, kelengkapan serta reka bentuk dalaman di lokasi-lokasi utama persidangan.

Menurut beliau semua kakitangan turut menjalani latihan protokol VIP bagi memastikan mereka bersedia serta mahir mengendalikan kehadiran tetamu kenamaan.

Dari segi keselamatan, Hatton-Jones berkata KLCC bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara, serta turut mengambil bahagian dalam latihan meja dan latihan lapangan bagi memperkemas strategi tindak balas kecemasan dan koordinasi.

“Kami menganggarkan lebih 1,000 kakitangan terlibat, merangkumi kakitangan tetap, kontrak dan sukarelawan, dengan jumlah yang disesuaikan mengikut keperluan operasi harian,” katanya.

Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” akan menghimpunkan para pemimpin negara anggota Asean untuk membincangkan isu-isu serantau serta merangka hala tuju masa depan kerjasama Asean.

Turut dijadualkan ialah Sidang Kemuncak Asean-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak trilateral Asean-GCC-China yang julung kali diadakan, mencerminkan usaha Asean memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619