OLEH TEOH YEE SHEN
AMPANG, 19 MEI: Tiga blok Flat Taman Muda kini berwajah baharu selepas kerja mengecat semula bahagian luar dan kawasan awam dalaman selesai dilaksanakan menggunakan peruntukan Projek Selangor Penyayang (PSP).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai Yew Jia Haur berkata kerja mengecat yang yang mengambil masa tiga bulan untuk siap bermula pada Februari lalu membabitkan kos sejumlah RM391,000.
“Ini adalah kali pertama kerja mengecat dilakukan sejak lebih 20 tahun lalu dan ia memberi nafas baharu kepada persekitaran flat ini.
“Kerja mengecat melibatkan dinding luar bangunan dan kawasan awam dalaman seperti koridor dan pemegang tangga,” katanya pada sidang media selepas meninjau flat berkenaan hari ini.
Seorang penduduk, Chew Wing Aun, 25, berkata beliau menetap di flat berkenaan sejak 2008 menyifatkan kerja mengecat yang dilaksanakan mengubah imej kawasan perumahan itu secara keseluruhan.
“Sebelum ini bangunan agak suram. Tapi kini flat ini nampak lebih ceria dan bersih,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Puan Kho, 70, berkata nilai hartanah flat dijangka meningkat berikutan penambahbaikan yang dilaksanakan.
“Masalah kerosakan dinding luar sudah berlarutan bertahun-tahun. Akhirnya, dengan bantuan wakil rakyat, ia dapat diselesaikan. Kami amat berpuas hati,” katanya.