Oleh: Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 19 Mei: Sebanyak 4,260 kekosongan jawatan ditawarkan pada program Jelajah Kerjaya Daerah Petaling di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) SS3, Sabtu ini.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata daripada jumlah itu 2,870 jawatan menawarkan gaji melebihi gaji minimum iaitu RM2,000 menjadikan program itu sangat relevan kepada mereka yang mencari kerjaya berkualiti dan berpendapatan stabil.
"Penganjuran kali ini melibatkan 29 majikan daripada pelbagai sektor antaranya perkilangan, perkhidmatan, logistik, teknologi dan peruncitan.
"Majikan terlibat termasuk syarikat ternama dan penyedia latihan yang menawarkan peluang penempatan kerja serta peningkatan kemahiran," katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu beliau memaklumkan lebih 6,000 pencari kerja dijangka hadir sepanjang program berkenaan.
[caption id="attachment_657079" align="aligncenter" width="947"] EXCO Sumber Manusia V Papparaidu bergambar bersama peserta Jelajah JobCare Selangor daerah Kuala Langat pada 10 Ogos 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI[/caption]
"Sasaran ini meliputi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT), pekerja yang ingin beralih kerjaya, serta individu menganggur.
"Program ini juga menyediakan temuduga terbuka di lokasi bagi membolehkan pencari kerja terus berinteraksi dan ditemuduga majikan secara langsung," ujarnya.
Papparaidu menambah, perkhidmatan bimbingan resume dan persediaan temuduga turut disediakan bagi membantu meningkatkan keyakinan serta kebolehpasaran pencari kerja.
Jelajah JobCare yang dianjurkan sejak 2022 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berkemahiran rendah, sederhana dan tinggi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Pada 2024, Jelajah JobCare menawarkan kira-kira 35,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor.
Berikut tarikh dan lokasi Jelajah JobCare Selangor 2025 mengikut daerah:
- 24 Mei 2025: Dewan Serbaguna MBPJ SS3 (Petaling)
- 21 Jun 2025: Dewan Sri Jugra (Kuala Langat)
- 5 Julai 2025: Dewan Merdeka KKB (Hulu Selangor)
- 19 Julai 2025: Dewan Perbandaran MPAJ (Hulu Langat)
- 9 Ogos 2025: Dewan MPKS Puncak Alam (Kuala Selangor)
- 27 September 2025: Dewan Hamzah (Klang)
- 11 Oktober 2025: Dewan Tun Razak (Sabak Bernam)
- 15 November 2025: Dewan Komuniti BBST (Sepang)