AGENDA

Piala Asia: Malaysia juara kumpulan acara regu berpasukan sepak takraw

17 Mei 2025, 10:23 AM
Piala Asia: Malaysia juara kumpulan acara regu berpasukan sepak takraw

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Seperti dijangka, Malaysia melangkah gagah ke peringkat separuh akhir acara regu berpasukan selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Kemenangan itu melengkapkan rekod sempurna skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun selepas menundukkan Brunei dan Jepun dengan keputusan sama, 3-0, pada perlawanan sebelumnya semalam, sekali gus mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan.

Korea Selatan muncul naib juara kumpulan.

Dalam aksi penuh keyakinan, regu pertama yang diwakili Muhammad Haziq Hairul Nizam, Farhan Adam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin membuka tirai kemenangan dengan menewaskan Cheon Dong Ryeung, Seon Woo Young Su dan Oh Dae Yang 15-6, 15-9.

Regu kedua yang diperkuatkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir pula menambah mata kedua negara dengan keputusan 15-6, 15-11.

Regu ketiga Malaysia tidak mensia-siakan kelebihan apabila Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi menumpaskan Nam Sang Hun, Shin Hee Seop dan Kin Jung Man 15-8, 15-7 untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan bersih.

Malaysia bakal bertemu Thailand atau India yang akan bertarung bagi merebut juara atau naib juara Kumpulan A malam ini bagi aksi separuh akhir esok.

Skuad Gajah Perang dijangka mengekalkan rekod cemerlang mereka dan terus melangkah ke final yang turut akan berlangsung esok.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619