SHAH ALAM, 16 MEI: Kempen Bebas Plastik dianjur di Pantai Bagan Lalang, Sepang Sabtu depan sebagai sokongan berterusan terhadap pengurangan penggunaan beg plastik, menurut EXCO alam sekitar.
Jamaliah Jamaluddin berkata program dari jam 7 pagi hingga 2 petang itu menyediakan pelbagai aktiviti antaranya menanam pokok dan pertunjukan fesyen kanak-kanak bertemakan bebas plastik.
“Penganjuran kempen ini selaras komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar dan mengurangkan pencemaran plastik sekali guna.
[caption id="attachment_677696" align="alignleft" width="386"] EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin[/caption]
“Dengan pelaksanaan kempen ini, ia mendidik orang ramai tentang kesan jangka panjang sisa plastik terhadap alam sekitar, ekosistem dan kesihatan awam serta galakan komuniti tempatan untuk lebih proaktif dalam pengurusan sisa.
“Selain pelbagai aktiviti menarik disediakan, pengunjung yang membawa bekas makanan dan minuman sendiri yang tidak berasaskan plastik akan menerima diskaun istimewa bagi setiap pembelian di reruai makanan,” katanya menerusi kenyataan.
Jamaliah menambah penganjuran kempen bebas plastik akan menjelajah ke beberapa lokasi seluruh Selangor pada Jun dan Ogos depan.
“Ini merupakan lokasi pertama pelaksanaan kempen dan diteruskan di empat lokasi lain sebelum acara kemuncak iaitu Karnival Alam Sekitar pada Oktober nanti.
“Dengan adanya kempen ini dapat meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat malah dapat membina komuniti yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap kelestarian alam semulajadi,” ujarnya.
Julai tahun lalu, Jamaliah memaklumkan sehingga 2023, Selangor mengumpul RM38 juta menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik di kedai.
Wang yang dikutip diguna untuk program kesedaran melindungi alam sekitar antaranya Karnival Alam Sekitar 2024, pemasangan lampu solar, program pokok untuk pendidikan, sambutan Hari Bumi dan projek taman komuniti.
Katanya, sebagai komitmen ke arah negeri yang hijau dan lestari, Selangor bercadang melaksanakan hari larangan penggunaan beg plastik pada Jumaat hingga Ahad yang bakal dimuktamad pertengahan tahun ini.