SHAH ALAM, 15 MEI: Program Jelajah JobCare Selangor bakal melibatkan penyertaan syarikat berskala besar termasuk bertaraf multinasional dalam usaha menawarkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
EXCO Pembangunan Sumber Manusia V Papparaidu berkata rundingan sedang dijalankan dengan beberapa syarikat utama sebelum mereka menyertai siri karnival akan datang.
“Buat masa ini, perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa syarikat berkenaan sebelum mereka menyertai karnival akan datang.
“Sepanjang tahun lalu, kita bantu lebih 3,000 pekerja dan dengan penglibatan syarikat besar, ia dapat menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi sekali gus mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.
Beliau berucap sempena sambutan Hari Pekerja peringkat negeri di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
[caption id="attachment_701216" align="aligncenter" width="872"] EXCO Sumber Manusia dan Pembasimian Kemiskinan V Papparaidu (duduk, tengah) bergambar bersama selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Mei 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Program Jelajah JobCare yang bermula 19 April lalu di sembilan daerah menawarkan lebih 40,000 peluang pekerjaan termasuk kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) dan bekas banduan.
Karnival kerjaya itu merangkumi pelbagai sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, pemasaran, kesihatan, pelancongan, hospitaliti dan pengangkutan.
Dalam pada itu, Papparaidu menjelaskan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) turut memainkan peranan penting menyediakan latihan kemahiran selaras keperluan industri.
“Antara bidang utama yang ditawarkan termasuk automotif, elektrik, kimpalan, teknologi maklumat (IT), kulinari serta beberapa bidang lain yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran kerja.
“Kursus di STDC dilaksanakan dengan pendekatan praktikal dan berasaskan industri, termasuk penempatan pelatih di syarikat berkaitan bagi memberikan pengalaman kerja sebenar,” katanya.
[caption id="attachment_587421" align="aligncenter" width="796"] Peserta menjalani latihan amali ketika menyertai bengkel pemantapan diri anjuran Yayasan Raja Muda Selangor bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor pada 15 Jun 2023. Foto Facebook STDC[/caption]