AGENDA

Mangsa sempat muat naik video pendek ketika dalam perjalanan bertugas

13 Mei 2025, 2:49 PM
Mangsa sempat muat naik video pendek ketika dalam perjalanan bertugas

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Seorang daripada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, pagi tadi sempat memuat naik video pendek ketika dalam perjalanan untuk bertugas di Festival Chitra Pournami, Menara Condong di Teluk Intan.

Hantaran berdurasi kurang 20 saat itu dengan kapsyen "gerak ke Teluk Intan" dimuat naik Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, di platform media sosial miliknya, yang turut memaparkan rakan-rakan setugasnya dari Unit 5 Ipoh, lengkap beruniform di dalam trak FRU dengan masing-masing kelihatan ceria berbual antara satu sama lain.

Video berkenaan kemudian dikongsi oleh pengguna media sosial lain sebelum ia tular.

Dalam kemalangan pada 8.50 pagi, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh maut selepas trak yang mereka naiki berlanggar dengan lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.

Selain Akmal Wafi, mereka yang terkorban ialah Sarjan S. Perumal, Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif.

Kenderaan membawa 18 anggota FRU itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas penugasan perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619