AGENDA

Elak lambakan stok, had belian beras tempatan kini lima kampit

9 Mei 2025, 9:00 AM
Elak lambakan stok, had belian beras tempatan kini lima kampit
Elak lambakan stok, had belian beras tempatan kini lima kampit

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Kerajaan meningkatkan had pembelian Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi daripada dua kampit kepada lima kampit bagi setiap transaksi bagi menggalakkan pengguna membeli beras tempatan dan mengelakkan lambakan stok di pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat 5 Mei lepas, lebih empat juta kampit BPT bersubsidi telah diagihkan ke seluruh negara namun sambutan daripada pengguna masih belum memuaskan.

“Inilah cabaran yang kita hadapi hari ini apabila sesuatu yang baik ditawarkan belum tentu diterima. Realitinya, pengguna Malaysia masih cenderung memilih beras berdasarkan jenama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Bagi mengubah corak pemilihan beras dalam kalangan pengguna, Mohamad mengumumkan pelancaran kempen nasional bertemakan ‘Saya Pilih Beras Tempatan’ yang dijadual bermula bulan hadapan.

[caption id="attachment_681593" align="alignleft" width="464"] Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ditemui media ketika Lawatan Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di Selangor Fruit Valley, Rawang pada 11 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Beliau berkata kempen itu bukan sekadar inisiatif komunikasi sebaliknya satu gerakan untuk meningkatkan kesedaran pengguna bahawa beras tempatan bukan sahaja setanding dari segi kualiti dan rasa, malah memberi nilai ekonomi dan strategik yang besar.

“Beras tempatan dapat membantu pesawah meningkatkan pengeluaran domestik dan yang lebih penting, mengurangkan kebergantungan negara kepada import,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk pesawah, pengguna, pengedar, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menyokong kempen berkenaan.

Mohamad berkata Kerajaan Madani komited memperkukuh industri padi dan beras negara menerusi pelbagai pendekatan menyeluruh termasuk subsidi bersasar, sokongan kepada pesawah, pelaburan dalam infrastruktur dan program kesedaran pengguna.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi tetapi juga untuk memperkukuh kedaulatan makanan negara dan menjadikan industri padi lebih mampan dan berdaya saing.

“Kalau kita mahu negara terus maju dan berdikari, kita mesti berani membuat pilihan yang tepat dan memilih beras tempatan adalah salah satu daripadanya,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619