AGENDA

Maha 2024 capai sasaran tiga juta pengunjung, dijangka terus meningkat

19 Sep 2024, 10:17 AM
Maha 2024 capai sasaran tiga juta pengunjung, dijangka terus meningkat

SERDANG, 19 SEPT: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2024 berjaya mencapai sasaran seperti yang ditetapkan iaitu tiga juta orang setakat 18 September, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata ia mencerminkan sokongan padu daripada masyarakat bagi program sebegini, sekali gus menyaksikan penyerahan sebuah motosikal kepada seorang pengunjung bertuah (bagi pengunjung ketiga juta) sebagai tanda penghargaan.

"Saya jangkakan jumlah pengunjung ke Maha kali ini akan mencecah lima juta orang pada hujung minggu ini.

"Bagi menghargai sokongan kuat daripada rakyat Malaysia ke atas Maha 2024 ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menghadiahkan sebuah kereta Perodua Axia kepada pengunjung yang kelima juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata sasaran pengunjung sepanjang 12 hari penganjuran Maha kali ini adalah seramai tiga juta orang, iaitu ia mampu menjana nilai jualan langsung mencapai RM40 juta serta nilai potensi pembiayaan kewangan sebanyak RM600 juta.

Beliau berkata berdasarkan laporan harian Maha, dijangkakan jumlah pengunjung akan naik mendadak pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini, justeru beliau telah mengarahkan KPKM untuk menggunakan semua aset bas, van, trem dan bugi yang ada di bawah agensi untuk membantu melancarkan perjalanan orang ramai.

Selain kejayaan mencapai sasaran tiga juta pengunjung, beliau berkata jumlah jualan benih dan anak pokok daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) juga telah melebihi daripada jumlah jualan Maha edisi lepas.

"Ini menunjukkan kecenderungan dan minat orang ramai terhadap sektor pertanian semakin meningkat," katanya.

Meraikan 100 tahun penganjuran, Maha edisi 2024 akan memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat Maha ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan penyertaan daripada pelbagai negara.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619