SHAH ALAM, 7 MEI: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menahan dan menyita dua buah lori yang didapati membuang sampah secara haram di Zon 4(2), Bukit Sentosa, kelmarin.
Menurut MPHS, operasi dijalankan bagi membanteras aktiviti pembuangan sampah haram yang semakin berleluasa di kawasan berkenaan selain pemantauan susulan aduan awam.
“Ketika rondaan dijalankan di kawasan Jalan Telipot yang dikenal pasti sebagai lokasi 'hotspot' pembuangan sampah haram terdapat dua lori sedang membuang sampah di lokasi yang tidak dibenarkan.
"Tindakan segera diambil dengan menahan dan menyita kedua-dua lori terbabit,”katanya menerusi kenyataan di Facebook.
MPHS menegaskan kesalahan tersebut merupakan kesalahan di bawah peruntukan UUK (3) Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan, Pelupusan Sampah Sarap (MDHS) 2007.
Jelasnya, kenderaan yang disita kemudiannya dibawa ke Depoh Tahanan Penguatkuasa di Rasa untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan UUK 21(1) undang-undang yang sama.
“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dan mencemarkan alam sekitar.
“Kita turut menghargai kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat amat dihargai dalam usaha menjaga kebersihan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.