KLANG, 5 MEI: Sejumlah RM3.35 juta diperuntuk bagi 17 projek mitigasi banjir di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebagai langkah segera mengatasi masalah tersebut.
EXCO infrastruktur berkata kerja penambahbaikan antaranya pemasangan paip culvert, pelebaran parit dan longkang serta naik taraf jambatan mula dilaksana seawal minggu ini dan dijangka siap keseluruhan Oktober depan.
“Kita kenal pasti 13 kawasan panas di seluruh Klang sering dinaiki air sekiranya hujan lebat antaranya di Meru dan Pandamaran. Berikutan ini, kita akan laksana 17 projek langkah segera untuk atas masalah banjir.
“Projek ini turut meliputi kawasan kampung yang pembangunannya tidak terancang seperti tiada aliran air atau parit kecil. Langkah drastik akan diambil termasuk pembelian tanah bagi mengelak kejadian banjir berulang.
“Tindakan pelaksanaan projek ini diselaras dengan beberapa agensi yang mempunyai peranan tersendiri antaranya MBDK, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” kata Dato’ Ir Izham Hashim.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat membincangkan kemajuan infrastruktur bagi kawasan seliaan MBDK yang turut dihadiri Datuk Bandarnya Dato’ Abd Hamid Hussain di sini, hari ini.
[caption id="attachment_699762" align="alignnone" width="773"] EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato' Ir Izham Hashim menunjukkan kawasan kekerapan banjir ketika sidang media berkenaan rancangan tebatan banjir bawah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 5 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN /MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu, Izham memaklumkan dana keseluruhan RM47.55 juta diperuntuk bagi keseluruhan projek mitigasi banjir termasuk langkah segera di kawasan pentadbiran Klang diuruskan JPS negeri.
Katanya, selain 17 kerja langkah segera itu, RM8.2 juta diperuntuk bagi projek jangka sederhana melibatkan 10 projek manakala selebihnya untuk jangka masa panjang dengan kos RM36 juta.
Mengulas lanjut, Izham menjelaskan langkah segera diambil itu bertujuan meminimumkan kejadian banjir yang sering berulang sehingga memberi kesan kepada rakyat.
“Projek jangka masa panjang yang libatkan kerajaan persekutuan memang diteruskan tetapi ia mengambil masa kira-kira lima tahun berbanding langkah segera. Kita mahu insiden banjir ini tidak berulang atau dapat diminimumkan.
“Kewangan tiada masalah, boleh diusahakan cuma masalah sering dihadapi pengambilan tanah, utiliti dan paip air seperti di Meru terlampau banyak kabel,” katanya.