AGENDA

Suri rumah lebur RM150,000 terpedaya pelaburan di Facebook

29 Apr 2025, 8:24 AM
Suri rumah lebur RM150,000 terpedaya pelaburan di Facebook

KUANTAN, 29 APRIL: Seorang suri rumah kerugian RM150,190 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud menerusi skim yang diiklankan di Facebook.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 58 tahun telah berurusan dengan tiga individu melalui WhatsApp selepas melihat iklan itu pada 21 Jan dan diarahkan memuat turun aplikasi ‘Tung Shing’ serta menyertai kumpulan WhatsApp “D2 Stock Market” dan “D02 AID VIP Group”.

“Dalam tempoh 23 Feb hingga 18 April mangsa telah membuat 13 transaksi pembayaran ke dua akaun berbeza dengan menggunakan wang simpanan peribadinya. Pada pertengahan April mangsa telah menerima keuntungan RM11,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu mula menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan baki pelaburan seperti dijanjikan malah mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan hasil pelaburan.

Susulan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dan pengesahan menyeluruh terhadap platform, syarikat serta individu yang menawarkan pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619