AGENDA

Arab Saudi denda jemaah haji tiada permit, pihak membantu

29 Apr 2025, 6:57 AM
Arab Saudi denda jemaah haji tiada permit, pihak membantu

RIYADH, 29 APRIL: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menetapkan hukuman terhadap individu dan pihak yang melanggar peraturan permit Haji, berkuat kuasa sepanjang musim Haji, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Berdasarkan peraturan baharu, denda sehingga SR20,000 akan dikenakan ke atas individu yang didapati menunaikan atau cuba menunaikan Haji tanpa permit, termasuk pemegang semua jenis visa lawatan yang cuba memasuki atau berada di bandar Mekah dan kawasan Tanah Suci dalam tempoh yang ditetapkan.

Kedua, denda sehingga SR100,000 akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang memohon visa lawatan bagi individu yang menunaikan atau cuba menunaikan Haji tanpa permit, atau yang memasuki atau tinggal di bandar Mekah dan kawasan Tanah Suci dalam tempoh berkenaan.

Denda akan dikenakan berlipat kali ganda bagi setiap individu yang terlibat.

Denda yang sama turut dikenakan ke atas mana-mana pihak yang membawa atau cuba mengangkut pemegang visa lawatan ke bandar Mekah dan kawasan Tanah Suci, serta mereka yang menempatkan atau cuba menempatkan pemegang visa lawatan di mana-mana penginapan, termasuk hotel, pangsapuri, rumah persendirian, tempat perlindungan atau tapak jemaah Haji.

Ketiga, individu yang cuba menunaikan Haji tanpa kelulusan, sama ada penduduk sah atau mereka yang tinggal melebihi tempoh visa akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dan dikenakan larangan memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

Keempat, mahkamah akan diminta merampas kenderaan darat yang digunakan untuk membawa pemegang visa lawatan ke Mekah dan kawasan Tanah Suci dalam tempoh ditetapkan, jika kenderaan itu dimiliki oleh pengangkut, pemudahcara atau individu bersubahat.

-- BERNAMA-SPA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619