Bakal jemaah haji gagal ujian kesihatan boleh mohon semula tahun depan

23 Okt 2025, 1:05 PM
Bakal jemaah haji gagal ujian kesihatan boleh mohon semula tahun depan

SHAH ALAM, 23 OKT: Bakal jemaah haji musim 1447H/2026M yang gagal melepasi ujian pemeriksaan kesihatan seperti ditetapkan kerajaan Arab Saudi, boleh membuat permohonan semula untuk tahun berikutnya jika tahap kesihatan mereka bertambah baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata setakat ini tiga peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji Malaysia dilaporkan gagal ujian saringan kesihatan untuk menunaikan rukun Islam kelima musim 2026.

"Sekiranya mereka gagal untuk tahun tersebut, tidak bermakna peluang terus tertutup. Kalau mereka berusaha pada masa hadapan untuk mengubah diri dan jaga kesihatan, surat tawaran akan diberikan kepada mereka apabila benar-benar layak.

"Saya percaya peraturan diperkenalkan kerajaan Arab Saudi telah mengambil kira hasil kajian dan hakikat yang berlaku apabila jemaah mempunyai penyakit kronik menyebabkan catatan kes kematian agak tinggi setiap kali musim haji," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Mualaf MADANI (KEMUDI) Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Mohd Na'im berkata Malaysia komited untuk mematuhi syarat melibatkan elemen kesihatan susulan kes kematian akibat serangan jantung yang direkodkan dalam kalangan jemaah hari negara pada setiap musim haji.

Beliau berkata bagi tujuan itu, Tabung Haji (TH) akan bergerak senada dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam konteks memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan memandangkan peraturan haji akan ditambah baik hampir setiap tahun.

"Selepas ini, sudah tentu TH akan melihat serta menilai semula semua peraturan terkini yang telah ditetapkan bagi mengemas kini dan menghasilkan modul baharu dalam kursus haji pada masa akan datang.

"Usaha itu sangat diperlukan berikutan penekanan diberikan kerajaan Arab Saudi baru-baru ini, secara jelas bertujuan memastikan tahap kesihatan setiap jemaah berada pada tahap terbaik sepanjang musim haji," katanya.

Pada Isnin lepas, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan yang perlu dipatuhi untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M, antaranya bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.

Sehubungan itu, semua bakal haji wajib menjalani dan lulus pemeriksaan kesihatan kendalian KKM sebagai syarat kelayakan melibatkan istito'ah jasmaniyyah (kemampuan fizikal) dan sihhiyyah (kesihatan) sebelum menerima tawaran menunaikan haji.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619