OLEH TEOH YEE SHEN
KLANG, 27 APRIL: Peserta program pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri berharap inisiatif seumpama ini diteruskan setiap tahun bagi membantu rakyat menjaga kesihatan mereka.
Miss Lim, 61, seorang pesara berkata beliau mengetahui mengenai program itu menerusi Facebook dan menyifatkannya sebagai satu usaha yang sangat baik.
[caption id="attachment_698662" align="alignleft" width="420"] Pesara Miss Lim ketika membuat pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Selangor saring Dun Pandamaran di Kompleks Sukan Pandamaran pada 27 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
"Bagi saya, mendaftar melalui telefon tidak sukar dan keseluruhan proses saringan berjalan lancar. Saya berharap Kerajaan Negeri dapat meneruskan program seperti ini setiap tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, hari ini.
Tan Chai Shya, 55, kali pertama menyertai program itu pula menyifatkan proses pendaftaran mudah dengan bimbingan kakitangan bertugas.
"Saya pernah mengalami sedikit masalah mata dan kini juga mengalami rabun dekat. Jadi, saya mengambil kesempatan hari ini untuk mendapatkan nasihat rawatan.
"Selepas saringan, kakitangan mengesyorkan saya untuk membuat pemeriksaan lanjut di klinik. Selain pemeriksaan mata, saya juga menggunakan perkhidmatan saringan lain yang disediakan," katanya.
Manakala Adenan Muhammad, 51, pekerja kilang pula mencadangkan agar program pemeriksaan kesihatan percuma diperluaskan kepada dua kali setahun di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
[caption id="attachment_698661" align="alignright" width="436"] Pekerja kilang, Adenan Muhammad ketika membuat pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Selangor saring Dun Pandamaran di Kompleks Sukan Pandamaran pada 27 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Leong Tuck Chee berkata program berkenaan bertujuan menggalakkan rakyat menjalani pemeriksaan berkala bagi mengesan penyakit lebih awal.
"Kira-kira 100 orang telah mendaftar dan kami menyasarkan antara 350 hingga 400 peserta," katanya ketika meninjau program berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan yang ditawarkan termasuk pergigian, ujian air kencing, kolesterol, saringan barah prostat dan payudara, fisioterapi, pemeriksaan mata, darah serta telinga.
Katanya, promosi turut dilakukan menerusi Facebook, WeChat dan bantuan sukarelawan daripada Jawatankuasa Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).