ad
AGENDA

Selangor teliti garis panduan wajibkan AED di tempat awam

27 Apr 2025, 6:55 AM
Selangor teliti garis panduan wajibkan AED di tempat awam
Selangor teliti garis panduan wajibkan AED di tempat awam
Selangor teliti garis panduan wajibkan AED di tempat awam

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Selangor meneliti garis panduan dan berbincang dengan pihak berkaitan dalam usaha mewajibkan penyediaan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) di kawasan awam dan tumpuan umum.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata perkara itu perlu diperhalusi secara terperinci bagi memastikan capaian dan pendidikan yang jelas dapat disampaikan kepada rakyat Selangor.

[caption id="attachment_670420" align="aligncenter" width="813"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berucap dalam Majlis Perasmian Hari Psikologi dan Hari Terbuka Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Selangor (Akrab) Perkhidmatan SUK Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Saya percaya mungkin ada antara kita yang masih belum tahu apakah itu alat AED dan lebih membimbangkan jika tidak tahu kaedah untuk melakukan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR).

"CPR merupakan tindakan awalan yang dapat kita laksanakan bagi menyelamatkan nyawa dan alat AED secara tidak langsung dapat menambah peratusan peluang untuk (mangsa) diselamatkan apabila ia dilaksanakan bersekali dengan CPR," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Selangor juga telah menyediakan 56 unit alat AED untuk ditempatkan di bangunan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan anak syarikat mulai Februari lepas.

Jamaliah memaklumkan usaha itu secara tidak langsung menjadi capaian bantuan rawatan awal kepada orang awam yang ditimpa kecemasan di premis kerajaan negeri.

[caption id="attachment_688894" align="aligncenter" width="764"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (dua kiri) bergambar pada Majlis Penyerahan Alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) kepada bangunan milik Kerajaan Selangor di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 25 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

"Insiden jantung terhenti boleh berlaku bila-bila masa dan kepada sesiapa sahaja tidak mengira latar belakang umur atau situasi kesihatan.

"Dalam kebanyakan kes, peluang untuk terus hidup bukan bergantung kepada doktor atau jururawat sahaja tetapi kita sebagai orang awam yang kebetulan atau mungkin berada di tempat kejadian dapat mengubah senario tersebut," katanya.

Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari ketika Majlis Penyerahan AED pada 25 Feb lepas memaklumkan inisiatif penyediaan 56 unit alat berkenaan melibatkan peruntukan RM492,000 itu, sebagai antara langkah proaktif kerajaan untuk memastikan bantuan kecemasan awal dapat disediakan kepada mereka yang memerlukan khususnya di tempat awam.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.