AGENDA

BN pertahan kerusi DUN Ayer Kuning, majoriti 5,006 undi

26 Apr 2025, 1:49 PM
BN pertahan kerusi DUN Ayer Kuning, majoriti 5,006 undi
BN pertahan kerusi DUN Ayer Kuning, majoriti 5,006 undi

TAPAH, 26 APRIL: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.

Setiausaha Umno Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di pusat penjumlahan undi di Dewan Merdeka di sini malam ini.

Ahmad Redhauddin turut mengumumkan bahawa 289 undi ditolak dan peratusan keluar mengundi pada PRK itu ialah 58.07 peratus.

Keputusan itu menyaksikan DUN Ayer Kuning terus menjadi kubu kuat BN yang dikuasai parti berkenaan sejak 1986.

Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022 menyaksikan Ishsam Shahruddin, yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah, menang kerusi DUN itu dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.

Dalam pada itu, kemenangan Mohamad Yusri, 54, diraikan pemimpin BN dan HARAPAN yang mengiringi beliau ke Dewan Merdeka pada 9.30 malam.

Antara yang hadir Menteri Besar Perak merangkap Pengarah PRK DUN Ayer Kuning Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Penyelaras DAP bagi PRK Ayer Kuning Howard Lee Chuan How.

PRK itu diadakan susulan kematian Ishsam pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.

Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pemilih berdaftar terdiri daripada 31,281 pengundi biasa.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab mereka di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619