AGENDA

Kanak-kanak lelaki maut lemas di kolam inap desa

17 Apr 2025, 12:30 PM
Kanak-kanak lelaki maut lemas di kolam inap desa

BALIK PULAU, 17 APRIL: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan ditemukan lemas di dalam kolam mandi sebuah inap desa di Teluk Kumbar di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu dijumpai terapung dan tidak sedarkan diri di dalam kolam itu oleh bapanya pada 10.38 malam sebelum bertindak menghubungi ambulans.

Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Balik Pulau, namun pada 11.40 malam doktor mengesahkan dia meninggal dunia.

“Berdasarkan hasil siasatan, pengadu (bapa mangsa) berusia 46 tahun telah membawa tiga anaknya itu ke inap desa berkenaan untuk berjumpa rakannya. Isteri pengadu tidak ikut bersama kerana bekerja.

“Kira-kira 10.15 malam, rakan pengadu menyedari kanak-kanak itu tiada di dalam bilik, kemudian pengadu bersama rakannya bergegas mencari kanak-kanak itu di kawasan inap desa sebelum menemukannya terapung di kolam mandi dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sazalee berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Balik Pulau dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian kanak-kanak itu adalah kerana lemas.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619