AGENDA

Cubaan seludup dadah disorok dalam beg kraf tangan melalui KLIA gagal

17 Apr 2025, 2:09 AM
Cubaan seludup dadah disorok dalam beg kraf tangan melalui KLIA gagal

PUTRAJAYA, 17 APRIL: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah dipercayai jenis kokain lebih 5 kilogram dengan anggaran nilai RM1.05 juta di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Mac lalu.

Penanggung Tugas-Tugas Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Dr Ahmad Taufik Sulaiman, berkata wanita warga Thailand berusia 30 tahun yang baru tiba di negara ini pada 7 malam, menaiki penerbangan antarabangsa dari negara Timur Afrika, turut ditahan.

“Wanita ini ditahan untuk pemeriksaan selepas imej imbasan ke atas beg miliknya menunjukkan objek dan imej mencurigakan, disyaki mengandungi dadah berbahaya.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bagasi wanita tersebut, pihak berkuasa menemukan 16 bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk putih yang disyaki dadah jenis kokain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Ahmad Taufik berkata siasatan awal mendapati dadah tersebut cuba diseludup masuk untuk tujuan pengedaran dalam negara.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan kokain dalam ruang rahsia beg kraf tangan dan dijahit rapat bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya sambil menambah wanita tersebut sudah dituduh di mahkamah.

Katannya kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619