AKPS gagalkan cubaan warga asing seludup masuk dadah bernilai RM12.4 juta di KLIA

19 Nov 2025, 5:55 AM
AKPS gagalkan cubaan warga asing seludup masuk dadah bernilai RM12.4 juta di KLIA

SHAH AA]LAM, 19 NOV: Tiga lelaki warga Jepun ditahan selepas cubaan menyeludup masuk dadah jenis kokain melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 awal pagi semalam.

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), cubaan seludup itu dikesan sekitar jam 1.45 pagi apabila imej mencurigakan terpantul pada mesin imbasan bagasi. Dadah tersebut ditemui semasa pemeriksaan fizikal terhadap satu daripada enam bagasi serta beberapa beg galas.

Pegawai AKPS mengesahkan, ketiga-tiga suspek memasuki negara ini dari Bangkok, Thailand, menaiki penerbangan MH0781. Dadah diselindungkan dengan menutup bungkusan menggunakan ikan bilis dan udang kering, serta dibungkus secara mampat bagi mengelirukan pihak penguat kuasa.

“Hasil pemeriksaan keseluruhan bagasi mengesahkan semua bagasi berkenaan mengandungi dadah jenis kokain seberat 12 kilogram, dianggarkan bernilai RM12.4 juta,” menurut kenyataan agensi itu hari ini.

Kesemua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952, dan kes diserahkan sepenuhnya kepada Bahagian Narkotik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut.

AKPS menegaskan komitmen mereka untuk memperkukuh pemantauan keselamatan dan kerjasama rentas agensi, bagi memastikan pintu masuk negara terus terlindung daripada ancaman penyeludupan dadah berbahaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619